Saturday, May 28, 2022

HARGA BARANG AKAN TERUS MENINGKAT

Salam hormat,

Di dalam sosial media hari ini masyarakat sibuk memperkatakan tentang kenaikan harga barangan. Ada barangan yang naik sehingga 60% daripada harga sebeum ini. Kalua diperhatikan sejak dahulu lagi, hampir semua barangan mengalami kenaikan harga, cuma kuantum, masa dan ketikanya sahaja yang berbeza. Demikianlah kedudukannya bagi semua negara di dunia ini yang berubah daripada negara miskin kepada sebuah negara yang berpendapatan tinggi.

Cuba kita perhatikan kos barangan yang serupa di negara Jepun, mislnya. Semuanya jauh lebih mahal daripada negara kita. Kerana ekonomi Jepun jauh lebih kaya. Jika Malaysia mengikuti jejak yang sama, nescaya harga barangan juga akan turut naik sama saperti di negara berkenaan.

Ramai juga di antara ahli masyarakat yang membuat pelbagai andaian serta ada yang mengeluarkan kata-kata yang kurang sihat menuduh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab atau pun tidak pandai berbuat sesuatu dan akhirnya harga barangan mendadak naik. Ramailah juga yang menyatakan rakyatlah akhirnya yang menjadi mangsa.

Pada hemat saya, kita semua sedikit sebanyak adalah penyebab kepada kenaikan ini semua. Mungkin sukar bagi anda mahu menerima kenyataan seperti ini. Tetapi buat diri saya itulah hakikatnya.

Jadi jika kita semua adalah sedikit sebanyak penyebabnya, dan accountable, maka penyelesaiannya juga sedikit sebanyak ada di dalam tangan kita semua. Saya sarankan beberapa perkara berikut, yang mana mungkin boleh mengurangkan lagi tekanan permintaan terhadap sesuatu jenis barangan, dan akhirnya akan membawa kepada kestabilan harga dan bekalan:-

 

1.   Semua orang kena kurangkan makan.

2.   Pastikan setip ahli keluarga tidak lagi membazirkan bahan makanan,

3.  Tingkatkan penabungan bagi mereka yang mampu,

4.   Berbelanja untuk keperluan sahaja, dan

5.   Menanam atau memelihara bahan makanan bagi mereka yang berkemampuan.


Dengan menuding jari kepada pihak lain tidak akan memberikan sebarang kebaikan kepada diri dan keluarga. Cuba laksanakan apa yang saya cadangkan di atas, mungkin tidak semuanya. In sha Allah aka ada kesannya. Sekarang adalah masa yang sangat sesuai untuk kita mengamalkan perbelanjaan yang berhemah dan berjimat cermat. Kita jangan akui sahaja kenyataan tersebut, kita kena buat atau ambil tindakan.

Kenapa saya mencadangkan supaya kita semua mengurangkan makan? Saya perhatikan hari ini terlalu ramai ahli masyarakat kita yang mempunyai berat badan yang berlebihan. Sehinggakan kadar berlakunya gejala obes di kalangan masyarakat terlalu membimbangkan. Akibahnya juga kadar berlakunya penyakit kencing manis juga terus meningkat di negara kita. Scenario ini tidak lain dan dan tidak bukan adalah di sebabkan berlebihan makan yang mungkin juga tidak pula seimbang.

Sejajar dengan hasrat ini juga, marilah kita beramai-ramai dan kerap mengamalkan puasa sunat, setiap Isnin dan Khamis. Di samping ia menyihatkan badan, amalan ini juga akan dapat mengurangkan tekanan permintaan barangan tertentu apabila ramai yang melakukanya serentak.

Hari ini kita masih terdengar ungkapan beribu tan bahan makanan yang tidak dimakan dan dibuang ke tapak pelupusan sampah setiap hari. Bukankah itu semuanya wang ringgit? Apabila barang atau bahan makanan sukar di dapati sepatutnya pebaziran juga akan turut menjadi sifar. Saya percaya tidak semudah itu. Maknanya masih banyak lagi tindakan atau amalan yang mulia yang setiap individu kena lakukan. Ibu dan bapa perlu senantiasa mengajar anak-anak bagaimana amalan berjimat dan tidak membazirkan bahan makanan ini boleh di lakukan.

Gaya hidup mewah yang kerap dipaparkan dimedia sosial perlu diberhentikan, sedangkan kita tahu mereka-mereka ini jika dikaji dari sudut pendapatan tidak mampu untuk menyara gaya hidup sedemikian. Berbelanja tidak mengikut kemampuan ini bukan sahaja ia akan menjerumuskan individua atau keluarga berkenaan ke lembah kepapan, bahkan turut memberikan impak kepada tekanan permintaan barangan tertentu. Jika benar mereka ini mampu, bersederhanalah dan usahakan menabung atau membuat banyak amal jariah. Kita semua tahu bahawa kadar penabungan di kalangan masyarakat Melayu amat rendah jika di bandingkan dengan masyarakat lain yang lebih maju.

Terakhir, sebagai salah saatu usaha, mungkin tidak begitu besar impaknya ialah dengan berusaha bercucuk tanam bagi mereka yang ada ruang dan peluang. Pengalaman saya ia sedikit sebanyak boleh mengurangkan perbelanjaan. Jika ramai yang melakukannya, saya yakin tekanan permintaan terhadap sesuatu bekalan makannan itu mungkin dapat di kurangkan dan mungkin juga dapat menstabilkan harga setempat.


                                                           Saya tanam sedikit sayuran


Fikir-fikirkan..

 

Sekian,

 

Dr Azizol bin Mohd Sharun (DVM, MAgrS)


No comments:

Post a Comment