Wednesday, May 20, 2020

SELAMAT HARI RAYA AIDUL FITRI


Salam sejahtera,

Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidul Fitri serta maaf zahir dan batin.






Hari Raya pada kali ini, bagi saya agak berbeza dari tahun-tahun sebelum ini. Walau pun perjumpaaan kecil bersama ahli keluarga terdekat dibenarkan disepanjang tempoh PKPB ini, keyakinan untuk berhari raya agak kurang. Saya masih menganggap kuman virus covid-19 masih terdapat diluar sana. Tambahan pula kuman ini tidak mengenali sempadan daerah dan negeri. Berpandukan kepada laporan kes oleh KKM yang telah lepas, kes baharu boleh berlaku dimana jua. Apa pun saya akan melaluinya, in sha Allah, sebagai satu pengalaman yang baharu.

Bagi saya sebagai seorang bapa, demikian juga dengan ibu bapa yang lain, semestinya kita akan berasa gembira apabila dapat bersama anak-anak dan cucu merayakan hari yang mulia ini. Untuk perayaan tahun ini saya telah membuat keputusan dan memaklumkan kepada anak-anak saya supaya tidak balik ke kampung, seperti mana dahulu. Tunggu dahulu, mungkin mereka boleh berjumpa semula apabila keadaan agak lebih menyakinkan nanti. Keputusan ini saya ambil memandangkan saya telah tergulong ke dalam kumpulan umur yang berisiko tinggi, jadi saya terpaksa mengambil segala langkah yang perlu untuk menjaga kesihatan diri sendiri.

Saya percaya tindakan saya ini tidak sama dengan rakan-rakan yang lain. Apa pun keputusan anda, saya mengajak rakan-rakan semua supaya terus mengamalkan penjarakan sosial serta mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi disepanjang tempoh berhari raya ini untuk kebaikan kita semua. Saya amat berharap supaya tiada diantara kita yang menganggap remeh semua aktiviti pencegahan yang perlu kita ambil. Saya telah mula perhatikan ramai yang telah mula keluar ke kedai/bandar dengan membawa anak-anak dan ramai pula yang telah tidak memakai topeng penutup mulut dan hidung. Ada yang memakai sekadar ambil ada pakai sahaja. Jangan begitu. Kita harus berdisiplin untuk menghadapi kes yang serius ini. Moga kita semua dalam peliharaan Allah SWT jua.


Sekian,



Dr Azizol bin Mohd Sharun (DVM, MAgrS).